Monday, 25 June 2012

Trip memburu kelah di Pahang

Kelah seperti yang diketahui oleh pemancing, ikan yang sukar untuk dipancing. Ikan ini menjadi buruan pemancing ikan air tawar. Kesusahan untuk memancingnya menjadikan kemahuan dan keinginan pemancing lagi tinggi untuk memancingnya.
Pada 23 Jun 2012, satu trip memancing kelah telah dirancang. Rancangan ini telah lama dilakukan tetapi masih tidak dapat dilakukan kerana keadaan air dan masa boatman. Akhirnya pada 23 Jun trip ini dapat dilaksanakan.
Kami bergerak pada jam 0100. Ros telah mengambil aku dan terus ke P16 untuk mengambil lagi 2 orang pemancing. Trip ini diikuti oleh 8 orang pemancing tetapi seorang telah tarik diri kerana hal peribadi. Setelah semua ahli telah cukup kami terus bergerak ke lokasi.
Jam 0430 kami telah sampai ke lokasi. Kami berehat di jeti. Jam 0830 kedai kopi ditepi jeti tidak dibuka dan kami mengambil keputusan untuk keluar ke pekan berdekatan untuk sarapan pagi. Selepas sarapan kami gerak semula ke jeti. Boatman juga telah sampai.
Jam 0930 kami gerak ke lokasi memancing. Perjalanan ke lokasi memancing mengambil masa lebih kurang 4 jam. Kami mencuba nasib sepanjang perjalanan kami ke lokasi. Seperti yang diketahui, tempat memancing kelah amat jauh ke dalam hutan. Sungainya juga mencabar. Terpaksa turun menolak bot beberapa kali kerana melalui kawasan yang cetek. Setiap bot dinaiki oleh 6 orang termasuk boatman dan pembantunya.
Jam 1330 kami sampai ke lokasi. Kami menyiapkan kawasan perkhemahan, makanan dan senjata yang dibawa. Selepas mengalas perut, kami meneruskan tujuan utama kami. Kami menjelajah ke seluruh kawasan hulu sungai yang menjadi lokasi yang dikatakan lubuk sang kelah ini. Hasilnya hanya seekor kelah dan sebarau sahaja. Kamipun pulang ke kawasam khemah kerana hari sudah senja. Kami menyediakan makan malam dengan masak asam kelah dan sebarau serta sayur pucuk paku yang dicari di hutan berhampiran.
Selepas solat maghrib dan makan malam kami meneruskan pancingan dasar pula. Kami hanya berjaya menaikkan seekor udang galah. Boatman pula pergi memburu di kawasan hutan berdekatan. Jam 0030 kami semua dah tidur. Malamnya amat sejuk dan nyaman. aku sedar pada jam 0602 untuk solat tetapi subuh yang amat gelap. Aku lelap semula hingga jam 0700. Aku bangun dan solat. Kami mulakan operasi memburu kelah. Kami berjaya dapat 4 kelah, 4 lampan serta 3 ekor pelbagai(juar, tengalan dsbg.)
Jam 1130 kami balik ke kawasan khemah untuk makan. Banyak makan pagi ini. Cucur bawang, maggi, roti… kami juga memasak untuk tengahhari… 3 ekor kelah dijadikan masak tempoyak, seekor goreng bersama 2 lampan. Selepas makan tengahhari kami berkemas dan bersihkan kawasan khemah. 1330 kami bertolak balik sambil mengilat ikan. Tiada hasil yang dapat. 2 insiden telah berlaku kepada bot yang aku naiki. Pertama bot kami tersasar ke tebing dan berlanggar kayu. Aku sempat tiarap kedalam bota tetapi boatman terpaksa terjun ke sungai. Aku cuba menyelamatkan bot tetapi daripada nak hentikan bot aku lajukan lagi bot tapi nasib menyebelahi kami. Perjalanan diteruskan sambil aku menikmati alam aku tertidur. Tiba-tiba rakan aku memanggil aku untuk memegang bot. bot hampir terbalik terlanggar batang kayu. Bot dimasuki air hingga barang-barang dalam bot semuanya basah. Kami berjaya tarik bot ke tepi. Air dibuang. Amat mendebarkan tetapi masih menarik dan menyeronokkan.
Perjalanan diteruskan dan sampai jeti pada jam 1630. Alhamdulillah kami semua selamat. 1730 kami gerak ke putrajaya dan selamat sampai.
Kami akan kembali.

No comments:

Post a Comment